‘Tiada sesiapa akan berada di sini esok’

Photo of author

By admin

'Tiada sesiapa akan berada di sini esok'

PUTRAJAYA: “Kita akan selesaikan perkara ini, hari ini juga,” demikian
keputusan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, ketika menolak
permohonan untuk menangguhkan prosiding kepada esok.



Terdahulu peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang membantu Hisyam Teh
Poh Teik berhujah dalam permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri
daripada mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak berhubung berhubung
kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang
dihadapinya, telah memohon agar hujahan permohonan itu bermula pagi esok
kerana beliau perlu menghadiri simposium di Parlimen pada petang ini.

Malah, Muhammad Shafee menjelaskan beliau hanya dimaklumkan mengenai
perkara itu dua jam lalu dan tidak berpakaian dengan sewajarnya, di samping
menegaskan bahawa permohonan berkenaan bukan boleh diambil ringan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram yang
menyifatkan ia sebagai alasan untuk menangguhkan prosiding, membantah
permohonan berkenaan.

Tengku Maimun kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan hujahan
permohonan berkenaan ditangguhkan kepada pagi esok.

Beliau berkata, panel mengambil pendirian bahawa Hisyam bersedia dengan
hujahan dan memerintahkan peguam itu menyambung hujahannya.

Muhammad Shafee kemudian berkata, Hisyam boleh menghabiskan hujahan hari
ini dan beliau boleh menyambung hujahan pada pagi esok.

“Kamu boleh datang esok atau pada bila-bila masa.

“Jika semua selesai hari ini, tiada alasan untuk Muhammad Shafee datang
esok. Tiada sesiapa akan berada di sini esok,” kata Tengku Maimun.


Sumber: Bharian.com