Shafee Abdullah Kembali Bantu Pasukan Pembelaan Najib

Photo of author

By admin

Shafee Abdullah Kembali Bantu Pasukan Pembelaan Najib

PUTRAJAYA – Bekas peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah
kembali menyertai pasukan pembelaan mantan Perdana Menteri itu bagi memastikan
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar
rayuan akhir kes berkenaan.



Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan pagi ini, peguam Najib, Hisyam Teh
Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah bahawa Shafee akan membantu pasukannya
dalam kes tersebut.

Hisyam kemudian meminta mahkamah untuk menangguhkan prosiding itu selama 10
minit lagi bagi membolehkan Shafee hadir.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak Tengku Maimun Tuan Mat yang
mengarahkan supaya perbicaraan diteruskan.

Apabila Shafee tiba, beliau memberitahu mahkamah hanya akan membantu pihak
pembelaan dalam penghujahan untuk memohon Tengku Maimun menarik diri
daripada mendengar rayuan akhir Najib.

Shafee meminta penangguhan sehingga esok dengan berkata, beliau perlu
menyediakan hujahnya mengapa ketua hakim negara tidak perlu mendengar rayuan
terakhir itu.

Beliau juga mengatakan ada permohonan baharu berhubung penarikan diri itu
untuk dikemukakan yang mana Tengku Maimun menegaskan bahawa Hisyam sudah
mengemukakan permohonan terbabit.

“Jika kita teruskan hari ini (dan mendengar permohonan Najib) dan membuat
kesimpulan hari ini, tiada sesiapa akan berada di sini (di mahkamah) esok,”
kata Tengku Maimun.

Beliau juga memberitahu Shafee, dia tidak dikehendaki di mahkamah esok
untuk memfailkan permohonan baharu.

Tengku Maimun menolak permohonan penangguhan itu dan mengarahkan Hisyam
untuk menyambung hujahannya.


Shafee berkata, beliau mempunyai temu janji lain untuk dihadiri pada jam 2
petang dan terpaksa meninggalkan mahkamah.

Terdahulu, Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau hanya kembali
untuk membantu pihak pembelaan dalam permohonan supaya Tengku Maimun menarik
diri dan tidak terlibat dalam kes pendengaran rayuan akhir itu.

Shafee turut menafikan pertukaran peguam adalah bertujuan untuk
menangguhkan prosiding tersebut.

“Tiada konspirasi,” kata Shafee.

Tengku Maimun memberitahu Shafee bahawa tiada keperluan bagi mahkamah
mendengar perkara peribadi berkaitan dengan representasi Najib.

Sebelum permulaan perbicaraan rayuan akhir itu, Najib menamatkan
perkhidmatan Shafee dan melantik Hisyam serta firma guaman Tetuan Zaid
Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai pasukan pembelaan
baharunya pada 25 Julai lalu.

Bagaimanapun pada 19 Ogos lalu, Hisyam memaklumkan kepada mahkamah bahawa
Najib telah menggugurkan pasukan pembelaannya daripada firma guaman Zaid. –
The Vibes, 23 Ogos 2022


Sumber: getaran.my