Kronologi kes SRC Najib

Photo of author

By admin

Kronologi kes SRC Najib

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuan terakhirnya untuk
mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi
kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.



Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun
Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu bagi
mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai
2020.

Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 turut mengekalkan keputusan itu.

Najib, 69, terpaksa menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Kes itu, yang mengambil masa empat tahun, menempuh pelbagai situasi
termasuk prosidingnya dijalankan secara dalam talian ketika negara dilanda
pandemik Covid-19.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

4 Julai 2018 – Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di
sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung
dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke
Mahkamah Tinggi.

8 Ogos 2018 – Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan
pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC
International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

3 April 2019 – Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi
Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan
tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

27 Ogos 2019 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan
dan mendengar keterangan 57 saksi.

11 November 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri
terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya
membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan
pengubahan wang haram.

3 Disember 2019 – Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah
Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan
terhadapnya.

11 Mac 2020 – Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari,
pembelaan menutup kesnya.

28 Julai Ogos 2019 – Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12
tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah
ke atas semua tujuh pertuduhan.

19 Oktober 2020 – Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi
307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

5 April 2021 – Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di
Mahkamah Rayuan.

18 Mei 2021 – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu
tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak
yang berlangsung selama 15 hari.

23 November 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk
keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan
keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh
hari sehingga 12 Disember setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh
hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Disember.

24 November 2021 – Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk
menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

2 Disember 2021 – Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah
Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk
daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Datuk Seri Azam Baki.

3 Disember 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar
permohonan memasukkan bukti baharu.

7 Disember 2021 – Mahkamah menolak permohonan Najib untuk
menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan
pada 8 Disember berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual
dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

8 Disember 2021 – Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam
talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib
memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

7 Januari 2022 – Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar
rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih
dahulu.

25 Januari 2022 – Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah
menyerahkan surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun
Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik Peguam Diraja
dari UK bagi membantu bekas Perdana Menteri itu dalam isu rumit dan
persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC International beliau di
Mahkamah Persekutuan.

2 Mac 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk
mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat
bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC
International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

16 Mac 2022– Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti
baharu dalam rayuan kes SRC.

11 April 2022 – Najib melalui Tetuan Shafee & Co memohon
lanjutan masa selewat-lewatnya 25 April untuk memfailkan petisyen
rayuan.

25 April 2022 – Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94
alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC
International.

29 April 2022 – Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari pada
Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi
kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

31 Mei 2022 – Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom
memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC
International.

7 Jun 2022 – Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti
tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan
perbicaraan kes SRC International.

13 Jun 2022 – Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah
permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC
International

16 Jun 2022 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh
menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili
Najib.

27 Jun 2022 – Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan
Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.

21 Julai 2022 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk
mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.

26 Julai 2022 – Najib telah menggugurkan serta-merta perkhidmatan
Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan terakhir kes SRC
International di Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama, peguam Hisyam Teh
Poh Teik dilantik sebagai peguam utama untuk mewakili Najib.

15 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan
untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan
terakhirnya dalam kes SRC International.

16 Ogos 2022 – Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan
bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.

16 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk
menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18
Ogos untuk mendengar rayuan itu.

18 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir
Najib dalam kes SRC International.

18 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk
menarik diri daripada mewakili Najib Tun Razak dalam rayuan akhir.

19 Ogos 2022 – Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam
rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah
Persekutuan.

19 Ogos 2022 – Najib menamatkan khidmat peguam caranya, Zaid
Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam
rayuan akhir.

23 Ogos 2022 – Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku
Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya
membabitkan dana SRC International.

23 Ogos 2022 – Muhammad Shafee gagal menangguhkan hujahan bagi
prosiding agar Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan
Najib.

Sumber: hmetro.com.my