Jangan terlalu gembira dengan musibah menimpa Najib -Mat Sabu

Photo of author

By admin

Jangan terlalu gembira dengan musibah menimpa Najib -Mat Sabu

PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan keputusan mahkamah
untuk menolak rayuan dan mengekalkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah sesuatu yang harus diraikan.


Sebaliknya, beliau berpendapat, perkara itu harus dijadikan sebagai panduan
dan pedoman.

“Supaya kita yang masih berada di luar dan bebas ini, tidak mengulangi
kesilapan, sama ada jenayah dalam bentuk peribadi atau jenayah yang
melibatkan negara.

“Jadi, kita tidak seharusnya berasa gembira apabila sesuatu musibah menimpa
ke atas seseorang,” katanya dalam kenyataan.


Justeru, kata beliau, rakyat Malaysia perlulah berazam terus untuk membina
negara yang lebih baik dan membanteras rasuah secara berterusan, agar
Malaysia menjadi negara yang makmur, aman dan berintegriti, sekarang dan
pada masa yang akan datang.

“Jadikan segala bentuk musibah yang menimpa kepada orang lain sebagai suatu
pengajaran kepada kita semua.

“Jangan kita bersikap angkuh dan sombong. Sebaliknya semua kita hendaklah
beristighfar kepada Allah.

“Kita berusaha dan mendoakan supaya negara Malaysia dan rakyatnya berada di
dalam keadaan aman, damai, berintegriti dan keadilan sosial dapat ditegakkan
sebaik mungkin pada masa yang akan datang,” katanya.


Sumber: Utusan.com.my