Terkini Kerajaan Telah Menghadkan 100kg Bagi Individu, Syarikat Beli beras Putih Tempatan

Photo of author

By admin

 

Terkini Kerajaan Telah Menghadkan 100kg Bagi Individu, Syarikat Beli beras Putih Tempatan



KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
(KPKM) menetapkan had pembelian maksimum 100 kilogram (kg) beras putih
tempatan (BPT) bagi setiap individu atau syarikat berkuat kuasa
serta-merta.

Penetapan dibuat mengikut Peraturan
10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan
Peruncit) 1996 itu sebahagian daripada usaha kementerian untuk mengatasi
gangguan bekalan beras terbabit di pasaran.

Ketua
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata keputusan
itu mengambil kira gangguan bekalan BPT yang dikenal pasti berpunca daripada
pembelian secara pukal, terutama dalam kalangan peniaga.

Beliau
yang juga Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras berkata, hasil siasatan
pihaknya mendapati segelintir peniaga membeli BPT sehingga 600 kampit untuk
menjimatkan kos dan mengaut keuntungan mudah.



“Peniaga kononnya mahu menurunkan kos yang perlu ditanggung
mereka dengan membuat pembelian BPT antara 500 hingga 600 kampit.

“Bagaimanapun,
peniaga dilihat masih mengekalkan harga nasi di premis masing-masing pada
kadar sama. Tiada penurunan harga berlaku, walaupun mereka membeli BPT secara
pukal




Justeru, kita lihat ada keperluan mengehadkan kuantiti pembelian
BPT mengikut ketetapan dalam peraturan sedia ada, walaupun ia tidak pernah
dikuatkuasakan sebelum ini,” katanya.

Kelmarin BH melaporkan
bekalan BPT di seluruh negara dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan
langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Menteri
Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dipetik berkata
langkah intervensi menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20
peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.

Melaluinya,
KPKM meminta pengilang padi dan pemborong meningkatkan bekalan sebanyak 20
peratus menerusi Program Khas BPT sebagai langkah intervensi memulihkan
bekalan.

Gesa patuh penetapan


Sementara itu, Azman menggesa pemborong dan peruncit mematuhi penetapan
berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan, termasuk pembatalan lesen ke atas
mereka.

“Pihak syarikat yang dikenal pasti gagal mematuhi
penetapan ini juga boleh didenda RM25,000 untuk kesalahan pertama, manakala
RM50,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.




“Individu persendirian pula boleh didenda RM15,000 bagi kesalahan
pertama, manakala RM25,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Dalam
pada itu, Azman ketika ditanya dakwaan wujud tindakan manipulasi bekalan BPT
berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang bukti membabitkan
tindakan segelintir golongan tidak bertanggungjawab yang dikatakan menukarkan
bungkusan BPT kepada kampit beras import.

Ahad lalu, Mohamad
yang juga Ahli Parlimen Kota Raja dilaporkan berkata, pihaknya mengesyaki
wujud tindakan memanipulasi bekalan BPT dengan menukarkan bungkusannya kepada
kampit beras import, dipercayai dilakukan segelintir pihak tidak
bertanggungjawab demi meraih keuntungan mudah.



Sumber
Berita Harian