Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) Sabudin Mohd Salleh dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta denda
RM1 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan memperoleh
suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.
Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan
pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 15
September tahun lalu yang membebaskan Sabudin, 62, daripada kedua-dua
pertuduhan rasuah itu di akhir kes pembelaan.
Mahkamah
menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan
memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai hari ini serta denda RM1
juta bagi kedua-dua pertuduhan atau dipenjara empat tahun jika gagal
membayar denda.
Bagaimanapun, Hakim Muniandy
membenarkan permohonan peguam K Theivaendran mewakili Sabudin untuk
menangguhkan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya sementara
menunggu rayuan akhir di Mahkamah Rayuan.
Sabudin
yang memakai sut berwarna kelabu dengan berkerusi roda kerana mengalami
masalah sakit lutut kelihatan tenang
dibantu Natrah Fareha Rahmat memohon supaya Sabudin dikenakan hukuman
penjara antara lima dan 10 tahun serta denda RM1 juta, mengambil kira
faktor kepentingan awam selain kesalahan itu serius kerana membabitkan kes
rasuah.
Seorang lagi peguam mewakili Sabudin, Y Sheelan Samuagam
bagaimanapun memohon supaya anak guamnya dipenjara sehari atas alasan dia
menghidap osteoartritis pada bahagian kedua-dua lututnya dan sudah menjalani
beberapa pembedahan besar selain memerlukan bantuan kerusi roda.
Pada
18 Disember 2020, Mahkamah Sesyen di sini membebaskan Sabudin daripada dua
pertuduhan itu pada akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun,
Sabudin diperintahkan membela diri atas kedua-dua pertuduhan itu selepas
Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022, membenarkan rayuan pendakwaan untuk
mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.
Mengikut
pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu timbalan pengarah
kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa
memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May
Kuan, subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan kerja-kerja
penurapan semula jalan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun
2018/2020 (2017/A214) sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada syarikat
itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam
kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit
Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang,
masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.
Pertuduhan
mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen
24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun
dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi,
jika sabit kesalahan.