PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengumumkan senarai protokol sambutan Hari
Raya termasuk membenarkan kapasiti penuh untuk solat sunat Aidilfitri dan juga
membenarkan rumah terbuka diadakan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata jemaah perlu sentiasa memakai
topeng muka ketika berada di masjid atau surau, dan ketika solat.
“Individu yang positif Covid-19 tidak diboleh sama sekali menyertai solat
sunat Aidilfitri, dan individu yang bergejala tidak digalakkan menyertainya.
“Sambutan Hari Raya dalam rumah atau rumah terbuka boleh dianjurkan tetapi
hadirin mesti memakai topeng muka. Individu positif tidak boleh hadir dan
mereka yang mempunyai gejala tidak digalakkan hadir,” katanya dalam sidang
media hari ini.
Kerajaan juga akan membenarkan “takbir raya” di masjid dan surau, serta dari
rumah ke rumah dengan memakai topeng muka.
“Hanya individu yang tidak menunjukkan gejala covid digalakkan menyertai
takbir raya, dan individi kes positif tidak dibenarkan menyertainya.”
Individu yang tidak positif Covid-19 juga akan dibenarkan melawat kubur,
sambil memakai topeng muka.
“Protokol ini adalah sebagai garis panduan umum. Bagaimanapun, ia tertakluk
kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa agama
negeri.
“Aidilfitri ini merupakan satu rahmat untuk kita meraikan bersama keluarga,
sanak saudara dan sahabat handai selepas dua tahun bertarung dengan wabak
Covid-19.
“Oleh itu, dalam peralihan ke fasa endemik, adalah menjadi tanggungjawab kita
untuk memastikan perayaan itu tidak berakhir dengan bahaya,” tambah Khairy.
Beliau berkata kebebasan ini tidak bermakna negara telah memenangi perang
melawan virus itu, dan orang ramai perlu melakukan ujian kendiri sebelum
pulang ke kampung halaman untuk melindungi mereka yang terdedah.
Kanak-kanak dan warga emas yang tidak divaksin, terutama mereka yang mempunyai
komorbiditi, berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang
teruk, katanya.
“Kita masih dalam wabak, jadi kita masih perlu berwaspada dan berhati-hati.
Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan di peringkat
antarabangsa, terutama pada varian baharu yang mungkin memberi kesan kepada
pengurusan wabak.
“Tetapi insyaAllah, (keadaan) terkawal. Selepas dua tahun tidak dapat pulang
ke kampung halaman, Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik, jadi
pulanglah dan berhari raya.”