Bandar Seri Jempol – Semua menu RM1 hingga RM3 sahaja

Photo of author

By admin

 


Bandar Seri Jempol - Semua menu RM1 hingga RM3 sahaja

JEMPOL – Tidak dinafikan segala kos termasuklah harga barangan dilihat telah
meningkat susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Berikutan
itu, seorang Pengurus Pusat Komuniti Desa Serting Ilir di sini mengambil
keputusan membantu usahawan bimbingannya menjana pendapatan melalui jualan
berkonsepkan vendor di Pintu Gerbang Homestay Lonek dengan syarat harganya RM1
hingga RM3 sahaja.

Pengurus berkenaan Nurulazma Shafiqah Khairul
Azhar, 32, berkata, setakat ini terdapat 62 jenis menu makanan seperti makanan
berat, masakan barat, kek dan manisan berada di gerainya sejak ia dibuka pada
pertengahan bulan lalu.

“Pada awalnya, saya bercadang untuk
membuka kedai berkonsepkan vendor ini di Pusat Komuniti Desa itu sendiri
tetapi memandangkan tiada ruang yang bersesuaian maka saya ambil keputusan
untuk menjadikan Pintu Gerbang Homestay Lonek ini sebagai lokasi.

“Konsep
vendor ini saya letakkan keutamaan untuk produk yang bermula dari harga RM1
hingga RM3 sahaja. Ramai yang tanya kenapa harganya semurah itu.

“Objektif
saya adalah untuk berkongsi rezeki. Saya buka perniagaan ini di kawasan
kampung, rata-rata penduduk adalah dalam kalangan B40. Ada juga yang dalam
kalangan miskin tegar dan asnaf,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada
Jumaat.

Ujarnya, selain itu, kesesuaian harga berkenaan juga
diambil kira berdasarkan terdapat usahawan bimbingannya yang memang berniaga
produk di bawah harga RM3.

“Jadi saya kumpulkan mereka di sini.
ALLAH Maha Baik, hari ini telah mencecah lebih 60 produk makanan dengan hampir
800 bungkus yang dibuat oleh rakan-rakan vendor saya dan semuanya sedap-sedap
belaka.

“Dalam masa sama, saya tidak sangka akan dapat sambutan
sebegini sehingga ia tular di media sosial. Ramai yang berikan maklum balas,
mereka bawa duit sedikit tapi bawa pulang makanan banyak. Kenyang, murah dan
berbaloi,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Noorezrin
Mahmod, 40, berharap harga seperti itu dapat dikekalkan sampai bila-bila.

“Pelbagai
jenis makanan ada sini, ramai boleh membeli sebab harganya murah. Semua boleh
merasa tidak kira peringkat umur terutamanya yang kurang berkemampuan,”
katanya.

Seorang lagi pembeli dari Bandar Seri Jempol, Suhaida
Bain, 36 berkata, sudah lama berhajat untuk mencuba makanan yang dijual di
situ.

“Saya datang hari ini dengan dua orang kawan, memang mengajak
mereka untuk merasa makanan tular dekat sini sebab harganya murah RM1 hingga
RM3 sahaja,” katanya.